Utusan Malaysia: 12 Julai 2009
KEPALA BATAS 11 Julai - Seorang suri rumah, Che Amah Said, 52, kebingungan apabila banyak ayam yang diternak di reban belakang rumahnya di Pasir Gebu di sini 'lesap' sejak seminggu lalu.
Hilang sabar kerana menyangka haiwan peliharaannya dicuri orang, Che Amah bersembunyi secara senyap-senyap menjenguk reban ayamnya dan terkejut apabila melihat 'pencuri' yang sebenar.Bukan manusia, tetapi Che Amah menemui seekor ular sawa batik yang sedang membelit seekor ayam peliharaannya.
Walaupun geram dengan kejadian itu, Che Amah tidak mampu berbuat apa-apa dan segera menghubungi Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) untuk menangkap reptilia tersebut.Ular sawa seberat kira-kira 20 kilogram dan sepanjang lima meter itu akhirnya ditangkap kira-kira pukul 9 malam oleh sepasukan anggota JPAM Butterworth dengan dibantu penduduk kampung.
''Lega saya kerana ular yang selama ini kenyang menelan ayam peliharaan saya sudah ditangkap, harap hanya seekor ini yang ada di sini," kata Che Amah ketika ditemui di tempat kejadian, kelmarin.
Sementara itu, anggota JPAM Butterworth, Rohana Che Amat berkata, pihaknya telah berjaya menangkap dua ekor ular sawa batik yang dilaporkan mengganggu penduduk pada hari kejadian tersebut.''Ular sawa pertama sepanjang kira-kira tiga meter dan seberat 10 kilogram ditangkap kira-kira pukul 7.30 malam di sebuah kedai menjual sayur di Bagan Luar.''Seekor lagi merupakan ular sawa yang ditangkap di Pasir Gebu kira-kira pukul 9 malam ketika sedang membaham ayam ternakan di dalam reban," katanya.Rohana menambah, seekor ular tedung bersaiz kecil pula berjaya ditangkap beberapa hari lalu di sebuah rumah di sini.
No comments:
Post a Comment